Aku Mengaku Bahawa Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah
Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Allah tidaklah akan mensia-siakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, dan ingatlah Dia pada waktu kita senang supaya Dia ingat kepada kita pada waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidupmu. Dialah yang akan menerangi jalan yang gelap.
Sahabatku......
Jangan takut menghadapi CINTA. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah menjadikan bunga dan memberinya kewangian. Allah menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya CINTA.
Jika hati mu diberi-Nya nikmat cinta sebagaimana hati ku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut tuhan kembali.
Cinta adalah iradat tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan KEMULIAAN, KEIKHLASAN dan TAAT KEPADA ILAHI.
Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan untuk menempuh onak dan duri kehidupan.
Cinta tak bergantung kepada wang. Kalau dua insan bercinta dapat bertemu, kesenangan dan ketenteraman fikiran adalah kekayaan hakiki. Lebih dari timbunan emas, lebih dari segenggam berlian malah lebih dari segala-galanya. Itulah kebahagiaan yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Ketahuilah sahabatku...
Nikmat Ilahi ada di sekeliling tiap-tiap insan, ada di dusun, ada di kota, ada di lurah, ada di daratan dan ada di lautan. Tetapi nafsu tidak pernah merasa puas atau tidak ingat akan nikmat yang ada di sekelilingnya. Yang sentiasa diperhatikannya ialah nikmat yang ada di tempat lain dan di tangan orang lain. Kelak kalau ada kesempatan pindah ke tempat yang dilihatnya itu, dia akan menyesal dan dia teringat pulang, iaitu pada hari yang tiada berguna padanya penjelasan lagi...
Sahabat..
Alam itu kadang-kadang bisu dan kadang-kadang berkata, kadang-kadang muram dan kadang-kadang gembira rupanya. Semua itu bergantung kepada warna teropong hati yang melihatnya. Boleh pada suatu waktu kita akan datang kepada suatu tempat dengan hati yang hiba, maka muramlah cahaya matahari dan... lain kali kalau kita datang ke tempat itu juga dengan hati gembira, dia akan turut gembira. Kalau bukan demikian, tentu samalah bentuk lukisan dan gambaran yang dilukis oleh ahli-ahli lukisan yang mahir. Demikianlah juga bunyi dan maksud syair yang dicipta para pujangga. Boleh memuji dan menyanjung nikmat keindahan alam dan boleh pula menyesali dan memperlihatkan buruknya.
Wahai sahabatku..
Jangan sampai terlintas dalam hati mu bahawa di dunia ini ada satu kebahagiaan yang melebihi nikmat cinta. Jika diri mu percaya ada kebahagiaan selain cinta maka akan binasalah hidup mu. Kau akan meletakkan vonis kematian ke atas diri mu sendiri.
Ingatlah sahabatku..
Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat.
Demikianlah ilham yang dibawa oleh cinta yang suci. Cinta yang suci adalah laksana setitis embun yang turun dari langit ke atas bumi Allah ini. Jika sekiranya bumi yang menerimanya itu subur, maka tumbuhlah di atasnya beraneka warna bunga-bungaan yang harum semerbak. Menanamkan damai, aman, sentosa, insaf, rasa percaya kepada diri sendiri. Dalam hal yang begini embun cinta yang setitis itu akan membawa manusia ke mayapada yang mulia. Tetapi jika cinta jatuh ke bumi yang tidak subur, yang tandus dan penuh batu-bata, tidak ada yang akan tumbuh di sana, lain dari sirih memanjat batu, kuning daunnya lemah gagangnya. Orang itu menjadi putus asa, cemburu sesama manusia, hilang kepercayaan kepada nikmat yang tersimpan dalam hidup. Atau menjadi seorang yang penbenci, kurang percaya pada diri sendiri, kadang-kadang pendendam dan mudah berkecil hati.
Ikhlas untukmu yang di kasihi....
Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)
No comments:
Post a Comment