"agama dalam berpolitik.”
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2:253, maksudnya: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan".
Selaku pemimpin yang mempunyai sifat ulamak, nilai kepimpinannya adalah religiously charismatic. Peribadi kehidupannya sentiasa mengutamakan ajaran agama. Penampilannya pula adalah berwatak alim, warak, sederhana dan mesra. Dalam menjalankan tugas, keputusannya mengutamakan hukum syarak dan syura. Pengarahannya adalah berpandukan maklumat yang dicari mahu pun yang diberitahu. Pada usia yang menghampiri 80 tahun, fikiran dan fizikal masih kental. Walaupun upaya fizikalnya memerlukan pengawasan perubatan.
Demikianlah rangkap huraian atas tokoh yang dikenali umum, yang terserlah sejak tahun 60-an sampai kini dihormati kekal menerajui Majlis Syura Ulamak melalui jawatan Mursyidul Am sejak dilantik selepas Tuan Guru Yusof Rawa kembali ke rahmatullah.
Pada 29 Mac lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Atas pelantikan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini memasuki tahun ke-20 selaku Menteri Besar Kelantan dilihat telah melonjak keyakinan jemaah menghadapi segenap cabaran perjuangan. Meskipun pelantikan tersebut atas sifat penerusan dan pemerkasaan Majlis Syura selepas Pendaftar Pertubuhan mengesahkan pindaan Perlembagaan PAS 2009 lalu, ia tetap dilihat penting untuk PAS selaku sebuah gerakan Islam yang mengutamakan kepimpinan berteraskan religiously charismatic.
Oleh sebab itu, ramai berpendapat kekuatan institusi Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am adalah nilai keagamaan dan kekudusan sifat kepimpinan tertinggi parti dalam membayangi segala keputusan dasar, strategi, pelaksanaan dan pemantauan seluruh organ parti PAS.
Justeru itu, segala penghormatan, pengharapan dan pengupayaan PAS ada jawapannya di sebalik siapa orangnya yang dilantik selaku Mursyidul Am. Hakikatnya jawapan itu ada pada diri Tuan Guru Nik Abdul Aziz setakat mana yang saya kenal dan sepanjang waktu berada bersamanya di dalam jemaah.Sehubungan itu, kekaguman saya secara peribadi terhadap bukti-bukti religiously charismatic beliau dapat ditampilkan dan disebut di sini. Antaranya adalah selalu memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan yang berceramah agar bersembahyang Maghrib/Isyak berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah, sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah, semasa berceramah mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja, dan akan mengingatkan tempat untuk bersembahyang apabila bermusafir.
Religiously charismatic boleh difahami sebagai kehebatan mengamalkan prinsip kehidupan selaku pemimpin yang bijaksana dan kental berpegang kepada ajaran Islam. Ia tidak berlaku di kalangan pemimpin biasa atau orang awam. Hakikat sifat keulamakan yang zahir dalam diri rohani dan jasmani Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan manifestasi religiously charismatic.
Meskipun, charismatic difahami sebagai sifat pemimpin yang berupaya mencetus kuasa penarik untuk orang ramai menerima dan menghormatinya, namun apabila charismatic itu diikat dengan religiously, maka kekuatan amalan kepimpinan yang berkarisma itu sebenarnya adalah berteraskan ajaran agama yang merupakan satu anugerah Ilahi yang memantapkan kepimpinan seseorang. Nilai religiously charismatic itu boleh dipadukan dengan ketentuan Allah SWT di dalam mencipta seseorang itu menjadi pemimpin menuruti lunas-lunas agama. Sesuai dengan firman Allah,
(al-Baqarah 2: 253) bermaksud, “Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan”.
Justeru itu, kelebihan yang Allah kurniakan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah antara yang mungkin dikurniakan kepada para ulamak masyhur yang lain. Oleh itu, nilai karismatiknya adalah terserlah dalam perkara amalan kepimpinan yang dilihat tidak ada pada pemimpin yang sekular.
Dalam konteks memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, nilai karismatiknya adalah kehebatan seseorang pemimpin itu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Ia bertujuan untuk mendidik rakyat berteraskan lunas yang jelas, iaitu kalimah Allah SWT.
Hal ini saya yakin tidak mampu dilakukan oleh pemimpin yang tidak komited dengan Islam (tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai ibadat harian).
Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegang dengannya, iaitu Kitabullah (al-Quran) dan
sunah Rasulullah SAW” (Riwayat Muslim); “Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya satu pahala dan satu pahala digandakan sepuluh kali” (Riwayat at-Tirmizi).
Sembahyang berjemaah
Begitu pula, langkah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan agar bersembahyang Maghrib/Isyak secara berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah. Kelebihan di sebaliknya adalah mengandungi makna besar sebagai pemimpin yang berjuang di medan politik-dakwah. Ia akan menzahirkan keupayaan pemimpin boleh menjadi imam atau makmum sembahyang di mana-mana tempat bersama-sama rakyat. Sekali gus membuktikan integriti beragama yang secara peribadinya selalu menjaga sembahyang berjemaah dan menjaga serta mendirikan sembahyang sebagai paksi dan tiang beragama.
Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini adalah selari dengan,
sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Sembahyang jemaah pahalanya melebihi sembahyang sendirian dengan dua puluh darjat” (Mutafaq’alaih); “tiga orang yang diredai Allah iaitu seorang yang pada tengah malam bangun dan sembahyang, suatu kaum (jemaah) yang berbaris untuk sembahyang, dan satu kaum berbaris untuk berperang” (Riwayat Abu Ya’la).
Hakikat ini akan membezakan pemimpin Islam dengan pemimpin sekular, kerana pemimpin yang sekular akan menepikan amalan sembahyang, lebih-lebih sembahyang berjemaah.
Sementara kehidupan seorang yang warak sudah pasti sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah. Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku pemimpin jangan tak berzikir, kerana semasa berzikir kita akan dekat dengan Allah. Amalan zikir ini tidak diajar oleh demokrasi, kerana ia tiada dalam aturan demokrasi. Melainkan dalam Islam yang mengajar kita berzikir. Dimulakan dengan Bismillah dan sebutlah sentiasa nama-nama Allah dan diikuti dengan selawat kepada junjungan Nabi.
Seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini selari dengan sunah Nabi, sebagaimana sabdanya bermaksud, “tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya dari azab Allah daripada zikrullah” (Riwayat Ahmad); “perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
Demikian pula, semasa berceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja. Pendekatan ini dikira menepati dengan uslub dakwah yang mengambil kira semua pendengar dapat menerima atas lunas keislaman bukan kepartian.
Jika banyak menyebut parti, mungkin akan ada sebahagian pendengar akan rasa tersinggung atau menolak hujah yang disebut semasa berceramah. Ia berbeza, apabila hujah agama dijadikan sandaran, maka tidak akan ada orang menolak agama. Apabila mereka memahami agama, dan agama yang difahami itu adalah Islam, maka sampai masanya parti yang memperjuangkan Islam akan dapat difahami dan diterima.
Selanjutnya, sifat pemimpin Islam adalah mengutamakan sembahyang kerana ia tugas wajib hamba kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Sebenarnya bukan sifat pemimpin Islam apabila berpergian (bermusafir), ibadat sembahyang dikemudiankan, sebaliknya mengutamakan makan-minum ketika berpergian.
Saya teringat, betapa Arwah Ustaz Bunyamin Yaakob membandingkan kehebatan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja naik kereta untuk berpergian, maka akan disebut kepadanya ‘masjid mana kita nak berhenti sembahyang’. Sebaliknya, ada seorang pemimpin besar PAS yang lain, sebaik sahaja berpergian perkara pertama yang disebut ialah ‘kita nak berhenti makan di mana’. Demikian cerita Arwah Ustaz Bunyamin.
Maka, pengajaran besar bagi setiap ahli dan pemimpin di jalan politik-dakwah ialah mengingatkan tempat untuk bersembahyang dan menunaikan sembahyang sewaktu bermusafir diyakini akan mendapat berkat Allah SWT di sepanjang perjalanan, sehinggalah kita semua akan sampai dengan selamatnya ke tempat yang dituju.
Ia sesuai dengan amanat Rasulullah SAW apabila menghantar orang-orang mukmin yang akan memulakan perjalanan, baginda bersabda, “semoga Allah membekali kamu dengan takwa, mengarahkan kamu kepada segala kebaikan, melaksanakan bagi mu segala keperluan mu, menyelamatkan agama dan dunia mu, mengembalikan kamu pulang dengan selamat dan memperoleh keuntungan” (Riwayat Ibnu Babawih).
Demikianlah perspektif yang dapat ditonjolkan atas nilai-nilai religiously charismatic kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan sebagaimana usia saya mengenali, mendampingi dan mendapat bimbingannya. Serlahan kepimpinan itu selayaknya akan ramai lagi pemimpin Islam, khasnya kalangan pemimpin parti PAS yang mengikut jejak ilmu politik-dakwah dan keperibadian hidup ibadatnya.
Selayaknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas kepimpinan Majlis Syura PAS dengan jawatan Mursyidul Am, kerana ia memenuhi ciri-ciri Kepimpinan Ulamak yang menguruskan gerakan politik-dakwah, menyambung urusan sunah Nabi - memartabatkan agama dan mengurustadbir dunia dengan agama - dalam era kecanggihan dunia yang mencabar ini.
created by Wan Nik Wan Yussof
No comments:
Post a Comment